20071024

Kedudukan angkasawan Malaysia di mata dunia

UTUSAN MALAYSIA 16 Ogos 2003

Saintis Menulis Oleh Norul Ridzuan Zakaria

Pada hujung minggu pertama bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menghantar angkasawannya yang pertama ke angkasa melalui program angkasa Rusia menjelang 2005. Calon angkasawan Malaysia ini dijangka dipilih selewat-lewatnya pertengahan 2004 kerana tempoh latihan yang perlu diikuti oleh calon angkasawan ini adalah kira-kira 18 bulan.

Sekurang-kurangnya dua rakyat Malaysia akan dihantar mengikuti latihan angkasawan yang mungkin akan dijalankan di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin di Star City, Kazakhstan. Sekurang-kurangnya seorang daripada mereka akan diterbangkan ke angkasa bersama angkasawan Rusia.

Biasanya dua angkasawan jemputan perlu menjalani latihan sebelum seorang daripada mereka dihantar ke angkasa. Ini bermakna seorang adalah calon angkasawan utama, sementara seorang lagi adalah calon angkasawan simpanan. Kenderaan pelancar yang biasa digunakan adalah kenderaan pelancar Soyuz, yang mempunyai tiga tempat duduk. Dua tempat duduk biasanya dikhaskan kepada angkasawan Rusia dan satu tempat duduk disediakan untuk angkasawan jemputan.

Sebenarnya program angkasawan jemputan anjuran Rusia ini bukanlah perkara baru. Program ini telah wujud semenjak tahun 1976 apabila Kesatuan Soviet mula melatih calon-calon angkasawan jemputan dari negara-negara ahli Interkosmos atau Persatuan Angkasa Antarabangsa yang diwujudkan pada bulan April 1967.

Enam calon angkasawan jemputan pertama adalah dari Czechoslovakia, Poland dan Jerman Timur yang mendaftar di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin pada bulan Disember 1976. Sepuluh calon angkasawan jemputan lagi tiba pada tahun 1978 dan 1979 dari Bulgaria, Hungary, Cuba, Mongolia, Romania dan Vietnam. Seterusnya calon angkasawan jemputan dari Perancis, India dan Syria pula tiba di antara tahun 1980 dan 1985.

Berita lanjut di : http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2003&dt=0816&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_06.htm&arc=hive

No comments: