20080331

SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI

28 Mac 2008

Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri
Putrajaya, Malaysia.

YAB Dato’ Seri,

PROGRAM ANGKASAWAN DAN PEMBANGUNAN PELANCONGAN ANGKASA

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

Space Tourism Society Malaysia Chapter (STS-MC) adalah cawangan Space Tourism Society (http://www.spacetourismsociety.org/ ) di Malaysia. Space Tourism Society adalah organisasi sukarela mempromosikan pelancongan angkasa yang paling utama di dunia.

Sungguhpun STS-MC telah ditubuhkan pada bulan Julai 2006, aktiviti promosi pelancongan angkasa yang pertama di Malaysia telah direkodkan bermula pada bulan Julai 1999. Oleh itu, aktiviti pembangunan pelancongan angkasa telah berusia hampir 9 tahun di Malaysia.

Program angkasawan telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan pelancongan angkasa di Malaysia, kerana ia telah menggalakkan orang awam berfikir berkenaan pengembaraan ke angkasa. Dan apabila orang awam memikirkan peluang mereka untuk mengembara ke angkasa seperti angkasawan, mereka akan memikirkan pula sistem pengangkutan yang ekonomik bagi merealisasikan peluang mereka itu. Mewujudkan sistem pengangkutan angkasa yang ekonomik ini adalah agenda utama pelancongan angkasa.

Kewujudan program angkasawan juga telah memberikan kelebihan yang unik kepada STS-MC kerana Malaysia adalah satu-satunya negara membangun di dunia yang mempunyai program angkasawan dan pembangunan pelancongan angkasa yang berjalan dengan serentak. Kelebihan ini membolehkan STS-MC mempromosikan dirinya di peringkat antarabangsa melalui kajian perbandingan program angkasawan dan pembangunan pelancongan angkasa.

Sehubungan itu, STS-MC telah membentangkan kertas bertajuk, “Symbiotic Relationship between Astronaut Program and Space Tourism Development – A Third World Perspective” di 2nd International Association for the Advancement of Space Safety di Chicago, Amerika Syarikat pada 14 Mei 2007. Program ini disenaraikan dalam persidangan 2007 anjuran Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan ditaja oleh Pentadbiran Udara dan Angkasa Amerika (NASA).

Kertas ini kini menjadi bahan rujukan utama pembangunan pelancongan angkasa di negara membangun di peringkat antarabangsa dan boleh diperolehi dari laman web rasmi Space Tourism Society dan juga:

www.spacefuture.com/archive/the_symbiotic_relationship_between_astronaut_program_and_space_tourism_development_a_third_world_perspective.shtml
Baru-baru ini pula, STS-MC telah membentangkan poster, “Commercial Suborbital Spaceflight as a Tool to Promote Interest of Space Travel in Developing Countries di 12th International Space University Annual Symposium di Strasbourg, Perancis pada 20 Februari 2008. Program ini disenaraikan dalam persidangan 2008 anjuran ESA dan ditaja oleh NASA. Poster ini menjelaskan bahawa kos bagi membangunkan sebuah prototaip pesawat angkasa suborbital adalah lebih rendah dari kos menghantar seorang angkasawan ke International Space Station (ISS).

Sememangnya membentangkan kertas dan/atau poster dalam program anjuran ESA dan/atau NASA di Eropah dan/atau Amerika Syarikat sekurang-kurangnya sekali setiap tahun adalah aktiviti utama STS-MC.

Daripada perkembangan terkini teknologi pesawat angkasa suborbital dan juga hasil kajian STS-MC, sememangnya suatu fakta bahawa kos menghantar seorang angkasawan ke ISS adalah lebih tinggi dari membangunkan sebuah prototaip pesawat angkasa suborbital. Prototaip pesawat ini boleh membuat berkali-kali penerbangan ke paras 100km dari aras laut, melayakkan juruterbangnya digelar angkasawan kerana Federal Aviation Administration (FAA) menganugerahkan “astronaut wing” kepada juruterbang dan penumpang pesawat yang terbang melebihi 80km dari aras laut.

Prototaip pesawat angkasa suborbital juga boleh digunakan sebagai pelantar penyelidikan saintifik terutamanya penyelidikan gravitri sifar dan mikro serta penyelidikan atmosfera.

Prototaip pesawat ini juga boleh dilengkapkan dengan kemampuan membawa penumpang di samping juruterbang membolehkannya membawa angkasawan dalam setiap penerbangannya, menyediakan peluang untuk angkasawan melakukan penerbangan angkasa dan melayakkan penumpang yang lain sebagai angkasawan.

Prototaip pesawat ini seterusnya boleh diselidiki dan dibangunkan sehingga terhasilnya pesawat angkasa suborbital yang sebenar yang kemudiannya boleh digunakan untuk penerbangan angkasa suborbital komersil.

Pesawat angkasa suborbital ini kemudiannya boleh dibangunkan pula sebagai pesawat angkasa suborbital pencerapan Bumi, VVIP dan strategik.

Pesawat angkasa suborbital pencerapan Bumi boleh mencerap Bumi dengan lebih efektif berbanding satelit kerana ia boleh diterbangkan di lokasi dan masa yang spesifik ke atas sasaran yang ditentukan.

Pesawat angkasa suborbital VVIP berfungsi untuk membawa pemimpin utama negara keluar dari kawasan bahaya serangan nuklear, biologi atau kimia dalam tempoh yang singkat kerana pesawat ini berkemampuan untuk sampai ke ruang angkasa dalam tempoh 15 minit sahaja.

Pesawat angkasa suborbital strategik pula boleh digunakan untuk misi keselamatan negara kerana ketinggian paras penerbangnya melebihi paras jangkauan peluru berpandu anti-pesawat udara dan pesawat pejuang-pemintas serta membolehkannya memainkan peranan efektif dalam misi pengintipan dan pemusnahan satelit musuh. Sememangnya penggunaan pesawat angkasa suborbital untuk tujuan strategik kini dalam agenda beberapa negara maju.

Sepanjang tempoh pembangunan pelancongan angkasa di Malaysia selama hampir 9 tahun ini, aktivis-aktivis pelancongan angkasa telah menjalinkan hubungan strategik dengan pelbagai agensi pelancongan angkasa termasuklah penyedia teknologi pesawat angkasa suborbital. Aktivis-aktivis pelancongan angkasa Malaysia ini kini merupakan ahli-ahli STS-MC.

Sehubungan itu, STS-MC mencadangkan agar kerajaan Malaysia membangunkan prototaip pesawat angkasa suborbital sebagai kesinambungan program angkasawan. Adalah lebih berfaedah sekiranya sumber kawangan dan pentadbiran bagi menghantar seorang lagi angkaswan ke ISS digunakan untuk membangunkan sebuah prototaip pesawat angkasa suborbital, yang jelas melibatkan pemindahan teknologi dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.

STS-MC mencadangkan konsep guna semula sepenuhnya dan kombinasi enjin jet dan roket dalam pembangunan prototaip pesawat angkasa suborbital ini. Konsep ini membolehkan prototaip pesawat ini berlepas secara mendatar menggunakan enjin jet dan menggunakan enjin roket untuk terbang menegak sehingga mencapai ketinggian 70km serta menggunakan momentum bagi mencapai paras 100km dari aras laut. Prototaip ini kemudiannya boleh meluncur turun tanpa penggunaan enjin, tetapi enjin jetnya boleh dihidupkan sekiranya perlu untuk tujuan keselamatan.

STS-MC telahpun mempunyai kerjasama strategik dan hubungan rasmi dengan pereka dan pengeluar air frame dan propulsion system pesawat angkasa suborbital, dan bersedia bekerjasama dengan dan memenuhi segala syarat kerajaan Malaysia bagi membolehkan pembangunan prototaip pesawat angkasa suborbital sebagai penerusan program angkasawan.

Tambahan pula sememangnya STS-MC telahpun menikmati faedah daripada penghantaran angkasawan negara yang pertama ke ISS kerana beliau kini secara tidak langsung sedang mempromosikan pelancongan angkasa kepada orang awam dan memberikan kelebihan yang unik kepada STS-MC membangunkan pelancongan angkasa menggunakan program angkasawan.

Sekian, terima kasih.

Saya dengan hormatnya,
Norul Ridzuan Zakaria
Presiden
Space Tourism Society Malaysia Chapter
HP: 013-664 8622. Email: ikam290200@hotmail.com

NOTA: Surat ditandatangani dengan 'letterhead'

20080328

Konvensyen Falak N.Sembilan 2008 16-18 Mei

16-18 Mei 2008 (Jum-Ahd) 10 pg – 10 mlm
Di Perkarangan Masjid Kariah Sikamat , Seremban
Anjuran : Jabatan Mufti Kerajaan N.Sembilan dgn kerjasama Jabatan Fizik Universiti Malaya
Terbuka kepada semua lapisan masyarakat , pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta

Aturcara menarik :
* Kuiz Falak dan Astronomi
* Kaedah menentukan arah kiblat
* Pameran Rubu’ Mujayyab dan Tongkat Istiwa’
* Semakan tarikh lahit Miladi kepada Hijri
* Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika
* Pertandingan roket laucher dan kenderaan di marikh

Maklumat lanjut di AMAL_NS

20080305

Space Tourism Society Malaysia Chapter Poster

Space Tourism Society Malaysia Chapter poster, “Commercial Suborbital Spaceflight as a Tool to Promote the Interest of Space Travel in Developing Countries”, which was successfully presented at the 12th International Space University (ISU) Annual Symposium, ISU, Strasbourg, France from 20 – 22 February 2008.

Sila klik pada poster untuk imej lebih jelas