20080806

Kaji bina pelancar roket

Berita Harian 6 Ogos 2008. NILAI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersedia mengkaji semula cadangan membina pelancar roket pertama negara dalam usaha menarik minat rakyat terhadap bidang aeroangkasa, termasuk teknologi pengeluaran roket penghantaran kapal angkasa dan satelit.

Menterinya, Datuk Dr Maximus J Ongkili, berkata kajian awal mendapati Kudat di Sabah mempunyai kedudukan geografi strategik dijadikan tapak pelancaran, tetapi hingga kini cadangan yang dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) itu belum terlaksana.

"Antara keperluan tapak pelancaran ialah kawasan di sebelah timur tidak berpenghuni seperti lautan atau gurun supaya jatuhan komponen kenderaan pelancar tidak membahayakan penduduk.

"Jika pembinaan tapak itu dapat membantu memajukan sains dan teknologi serta membawa keuntungan kepada negara, kita sedia mengkaji dan mengemukakannya kepada Kabinet untuk pertimbangan semula," katanya selepas melawat Kilang Inno Biologics Sdn Bhd di Bandar Baru Nilai, dekat sini semalam.

Maximus berkata, kesediaan kementerian mengkaji semula pembinaan tapak berkenaan berikutan usaha melancarkan RazakSAT, satelit mikro kedua negara seperti tarikh yang dicadangkan pada 15 Ogos hingga 16 September ini terpaksa ditunda berikutan pelancaran satelit negara lain empat hari lalu tidak berjaya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan RazakSAT tetap dilancarkan tahun ini selepas ditunda sejak akhir tahun lalu, tetapi bergantung pada slot masa yang diberikan Space Exploration Technology (SpaceX) Amerika Syarikat.

"Saya akan maklumkan penangguhan pelancaran kepada Kabinet dan kita perlu bersedia lebih awal untuk pelancaran baru, terutama dari segi pengangkutan, susun atur dan tarikh baru," katanya.

Mengikut perancangan sebelum ini, RazakSAT yang dibina dengan kos RM127 juta akan dilancarkan ke orbit menggunakan pelancar Falcon-1 milik SpaceX dari Amerika Syarikat di tapak pelancar Kwajelein, Kepulauan Marshall.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20080805235217/Article/index_html