20080430

10 Soalan Berkenaan Program Angkasawan

30 April 2008

YB Ahli-Ahli Parlimen yang berkenaan,

10 SOALAN BERKENAAN PROGRAM ANGKASAWAN

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

Berikut adalah 10 soalan yang dicadangkan agar dikemukakan oleh ahli-ahli parlimen yang berkenaan kepada kerajaan Malaysia amnya dan Kementerian Sains, Teknologi dan inovasi khususnya semasa persidangan parlimen:

1. Kerajaan kerap menyatakan bahawa hasil utama program angkasawan adalah peningkatan minat dalam bidang sains angkasa di kalangan orang awam. Bagi membuktikan kenyataan itu, bolehkah kerajaan mengemukakan statistiks minat orang awam terhadap sains angkasa sebelum dan selepas penghantaran angkasawan ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS)?

2. Adakah pembinaan Planetarium Negara yang bernilai lebih RM50 juta 15 tahun yang lalu dan operasinya yang menelan belanja jutaan RM setiap tahun telah gagal mempromosikan bidang sains angkasa sehingga memerlukan program angkasawan bagi melaksanakan tugas yang sama?

3. Apakah penyelidikan saintifik yang telah dijalankan oleh angkasawan Malaysia di ISS, dan bila serta di persidangan saintifik manakah kertas berkenaan penyelidikan itu dan hasil penyelidikan itu akan dibentangkan?

4. Apakah komponen pemindahan teknologi yang diperolehi dari program angkasawan? Bukankah kenderaan pelancar Soyuz yang dinaiki oleh angkasawan Malaysia itu merupakan teknologi pengangkutan angkasa yang telah berumur hampir setengah abad?
5. Federal Aviation Administration (FAA) menganugerahkan “astronaut wing” atau “sayap angkasawan” kepada seseorang yang telah terbang melebihi paras 80km dari aras laut. Disebabkan angkasawan kedua negara tidak terbang melebihi paras itu, maka beliau tidak layak digelar angkasawan berdasarkan anugerah sayap angkasawan FAA. Adakah angkasawan sebenarnya bermaksud sesiapa sahaja yang telah menyertai program latihan penyediaan angkasawan walaupun beliau tidak dihantar ke angkasa? Jika maksudnya demikian, bolehlah Malaysia menyediakan lebih ramai angkasawan dengan hanya menghantar calon-calon angkasawan bagi menyertai latihan penyediaan angkasawan tanpa menghantar mereka ke angkasa bagi menjimatkan perbelanjaan?

6. Apakah yang akan dilakukan seterusnya oleh 2 orang angkasawan Malaysia? Adakah mereka akan dihantar ke angkasa lagi, atau diberikan tugas sekadar mempromosikan sains angkasa?

7. Prototaip pesawat angkasa suborbital boleh membawa seorang juruterbang ke paras melebihi 80km dari aras laut dan melayakkan juruterbang itu menerima anugerah sayap angkasawan dari FAA dan gelaran angkasawan yang sebenar. Prototaip ini juga boleh digunakan untuk menjalankan penyelidikan saintifik termasuk penyelidikan atmosfera dan graviti sifar. Di samping itu, pembangunan prototaip ini merupakan aktiviti pemindahan teknologi kerana ia boleh disertai oleh jurutera, pereka dan saintis Malaysia. Jika kos bagi membina sebuah prototaip pesawat angkasa suborbital ini adalah lebih rendah dari kos menghantar seorang angkasawan ke ISS, bukankah lebih baik kerajaan membina prototaip ini daripada menghantar seorang angkasawan ke ISS? Bukankah angkasawan Malaysia juga boleh dilatih sebagai juruterbang prototaip itu membolehkan mereka terus berfungsi sebagai juruterbang-angkasawan, dan penerbangan prototaip itu juga akan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menjadi angkasawan?

8. Secara logiknya aktiviti pembangunan kereta nasional adalah lebih berkesan berbanding dengan penghantaran peserta Malaysia berlumba dengan menggunakan kereta bukan nasional bagi mempromosikan bidang kejuruteraan automotif di kalangan rakyat Malaysia. Bukankah secara logiknya, minat orang awam Malaysia terhadap sains dan teknologi angkasa akan lebih bertambah jika kerajaan Malaysia membangunkan pesawat angkasa berbanding dengan sekadar menghantar angkasawan ke ISS?

9. Berapakah nilai di segi kewangan, masa dan sumber manusia bagi kerajaan terus membiayai dan mengekalkan populariti kedua-dua angkasawan Malaysia selepas kembalinya angkasawan Malaysia yang pertama dari ISS?

10. Kebarangkalian bagi seorang rakyat Malaysia untuk dihantar ke angkasa adalah amat kecil, sehingga nilainya lebih kecil dari kebarangkalian untuk menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia, disebabkan faktor kos dan ketiadaan kenderaan pelancar angkasa milik sendiri. Tetapi peluang bagi seorang rakyat Malaysia untuk ke angkasa sebagai pelancong angkasa adalah lebih besar sekiranya terdapat pesawat angkasa suborbital yang boleh membawanya ke angkasa dengan kos 0.1% daripada kos menghantar angkasawan ke ISS. Pengwujudan sistem pengangkutan angkasa yang ekonomik ini adalah agenda utama pelancongan angkasa. Maka, bukankah angkasawan Malaysia sebenarnya mempromosikan pelancongan angkasa setiap kali beliau bercerita berkenaan pengalamannya sebagai angkasawan di ISS? – Untuk makluman, minat orang awam Malaysia terhadap pelancongan angkasa telah bertambah dengan drastik semenjak angkasawan Malaysia kembali dari ISS.

Sekian, terima kasih.

Saya dengan hormatnya,
Norul Ridzuan Zakaria
Presiden
Space Tourism Society Malaysia Chapter
http://ikam-space.blogspot.com