20111209

PKNS rancang wujudkan bandar angkawasan di Bernam Jaya



PKNS rancang wujudkan bandar angkawasan di Bernam Jaya
2010/09/28

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Selangor (PKNS) merancang mewujudkan sebuah "Bandar Angkasawan" di Bernam Jaya, Selangor, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Omar Othman.

"Bagaimanapun, ia masih lagi di peringkat awal. Kami baru bercakap mengenainya. Tiada yang muktamad lagi," kata beliau di sini, hari ini. Omar berkata, PKNS akan menganjurkan "Kongres Angkasawan" yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 8 Oktober.

"Kami cuba menjadualkan lawatan oleh angkasawan ke Pusat Sains Selangor yang juga merupakan Bandar Solar/Suria untuk bertukar-tukar pendapat," katanya selepas lawatan oleh angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke petak pameran PKNS di Persidangan Kewangan Global di sini, hari ini.

Bertemakan, "Dawn of the New Decade: Alternative Investments in Asia", persidangan anjuran International Herald Tribune dan London Speakers Bureau, berakhir hari ini.

PKNS, cabang pelaburan kepada kerajaan negeri Selangor, adalah satu-satu peserta pameran yang mengetengahkan hartanah berprofil tinggi bernilai berbilion ringgit bagi menarik para pelabur berpotensi antarabangsa.

Bandar Solar pertama Malaysia, terletak di Taman Sains Selangor 2, ialah pembangunan semula bandar berintegrasi dan bercampur dengan perindustrian berteknologi tinggi, kediaman komersil dan komponen rekreasi.

Sementara itu, Sheikh Muszaphar berkata: "kami amat kagum dengan infrastruktur bertaraf dunia yang PKNS telah tempatkan di bandar Solar".

"Kami akan membawa 100 angkasawan dari seluruh dunia untuk melawat Bandar Solar seperti dari Amerika Syarikat, Iran dan India.

"Mungkin, kami boleh mempromosikan sains angkasa kerana Bandar Solar mempunyai banyak peluang dan potensi," tambah beliau. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/articles/PKNSrancangwujudkanbandarangkawasandiBernamJaya/Article/

No comments: