20090204

Iran lancar satelit Omid ke angkasa lepas

TEHERAN 3 Feb. - Iran melancarkan satelit pertamanya ke angkasa lepas semalam, menggunakan roket Safir-2 dan bakal menimbulkan kebimbangan baru daripada masyarakat antarabangsa mengenai keupayaan ketenteraannya.

Agensi berita rasmi, IRNA melaporkan, sempena ulang tahun ke-30 revolusi Islam dan atas arahan Presiden, satelit Omid (bermaksud Harapan) kebangsaan telah dilancarkan.

"Ini merupakan satelit pertama dilancarkan oleh negara ini dan ia telah dibawa oleh roket Safir-2.

"Pelancaran satelit dilakukan petang semalam," lapor media rasmi kerajaan itu.

Menurut IRNA, satelit berkenaan dibuat sepenuhnya oleh Iran serta jenis satelit yang ringan yang akan mengelilingi bumi sebanyak 15 kali dalam tempoh 24 jam.

"Roket Safir-2 mempunyai keupayaan untuk melancarkan satelit ringan itu ke angkasa dan memasukkannya ke dalam orbit dengan tepat.

"Peralatan Roket Safir-2 turut dibuat oleh saintis Iran sendiri," kata laporan itu.

Roket Safir-2 buat pertama kalinya dihantar ke angkasa lepas pada Ogos lalu, dengan pembangunannya meningkatkan kebimbangan masyarakat antarabangsa yang sebelum ini mendakwa Iran bercita-cita membangunkan program nuklear.

Washington dan kuasa-kuasa dunia lain menuduh Tehran membangunkan senjata nuklear bagaimanapun, Iran menafikannya dan mengatakan program nuklear adalah untuk kegunaan orang awam.

Safir mempunyai ketinggian 22 meter panjang, diameter 1.25 meter dan berat lebih 26 tan. – AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

No comments: